Sofia dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang kaya. Sofia tinggal di sebuah rumah yang besar dan memakai baju yang cantik sejak dari kecil lagi. Bapa Sofia sentiasa membeli hadiah kepada Sofia setiap kali balik dari luar negara. Sofia mempunyai banyak mainan, anak-anak patung, beg dan jam tangan yang berjenama. Kehidupan Sofia amat selesa dan serba mewah.
Sofia adalah seorang budak yang riang tetapi dia bergaul dengan kawan-kawan kaya yang suka menunjuk-nunjuk. Lama-kelamaan, Sofia juga suka menunjuk-nunjuk di hadapan kawan-kawannya.
Pada musim cuti sekolah, biasanya Sofia dapat melancong ke luar negara. Tetapi pada musim cuti sekolah tahun ini, bapa Sofia mempunyai rancangan yang lebih baik. Bapa membawa sekeluarga membuat lawatan ke rumah anak-anak yatim di luar bandar.
Apabila tiba di pusat anak-anak yatim, Sofia terkejut dengan keadaan anak-anak di situ. Mereka kelihatan kemas tetapi baju mereka agak lusuh dan lama. Bilik tidur dan kemudahan di dalam pusat itu agak ringkas. Mereka tidak mempunyai baju-baju cantik, kasut baru, alat mainan yang banyak, jam tangan atau beg berjenama. Tetapi mereka berasa gembira dan senang hati. Senyuman mereka amat ikhlas dan manis. Sofia mula berasa malu dengan sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk.
Dalam lawatan ini, Sofia mendapat sahabat pena baru. Selepas lawatan ini, Sofia tidak lagi menunjuk-nunjuk. Sofia mula bergaul dengan kawan-kawan lain yang bersikap sederhana. Sofia berasa gembira dan senang hati dengan kawan-kawan baharu.
No comments:
Post a Comment