Tuesday, 15 June 2021

HARI PERTAMA KE SEKOLAH

Pada  hari  pertama  masuk  ke  sekolah,  saya  berasa  gementar.  Suasana  sekolah  agak  riuh  kerana  banyak  ibu,  bapa,  datuk  dan  nenek  datang  ke  sekolah  bersama-sama  dengan  anak-anak.  Saya  juga  melihat  banyak  gelagat  murid-murid  seperti  menangis,  meronta-ronta,  takut,  suka  bercakap,  ketawa  dan  berdikari.

    Apabila  kami  dibawa  ke  kelas  masing-masing,  saya  ditempatkan  di  tempat  duduk  yang  paling  tepi  di  barisan  kedua.  Guru  kelas  kami  bernama  Cikgu  Chong.  Beliau  berambut  pendek  dan  sangat  peramah.  Beliau  pandai  memujuk  murid-murid  yang  sedih  dan  menangis.

    Kami  membuat  aktiviti  mewarna,  menonton  video  dan  menari  di  dalam  kelas.  Mula-mula  saya  berasa  malu  untuk  menari  apabila  video  muzik  kanak-kanak  dimainkan.  Cikgu   Chong  memberi galakan  kepada  semua  murid  agar  kami  berani  dan  bersikap  positif.  Saya  menggerakkan  tangan  dan  menggelek  mengikut  video  yang  dimainkan.  Saya  berasa  gembira  dan  seronok  semasa  berada  di  dalam  kelas.

    Sebelum  kelas  bersurai,  Cikgu  Chong  memberikan  jadual  waktu  baru  kepada  kami.  Cikgu  Chong  menerangkan  beberapa  panduan  dan  peraturan  penting  kepada  semua  murid.  Selepas  bersurai,  kami  berbaris  dengan  teratur  dan  berjalan  menuju  ke  pintu  pagar  utama  sekolah.  Saya  melihat  ibu  bapa  saya  sedang  menunggu  ketibaan saya  dengan  senyuman  yang  lebar.

No comments:

Post a Comment