Apa khabar kawan-kawan semua? Nama saya Bobi, seorang angkasawan yang ulung. Mari Bobi membawa kawan-kawan semua menjelajah ke angkasa lepas dengan menaiki Roket Ria 1 yang berlepas dari Malaysia.
Sebelum kita sampai ke angkasa lepas, kita akan melepasi lapisan atmosfera bumi. Apa itu lapisan atmosfera? Atmosfera adalah satu lapisan gas yang mengelilingi bumi. Lapisan atmosfera kekal di tempatnya kerana tarikan graviti. Lapisan atmosfera terdiri daripada 78% nitrogen, 21% oksigen, 1% argon, karbon dioksida, wap air dan gas-gas lain.Apa fungsi lapisan atmosfera? Tugas atmosfera amat penting kepada semua kehidupan bumi. Atmosfera dapat menyerap pancaran matahari ultraungu yang bahaya supaya suhu bumi tidak terlampau panas.
Sekarang, mari Bobi membawa kawan-kawan semua menjelajahi angkasa lepas. Di luar angkasa lepas, semuanya kelihatan berbeza. Tiada oksigen, tiada unsur-unsur air, tiada graviti dan tidak kelihatan benda hidup di luar bumi.
Tahukah kawan-kawan semua, apakah bintang yang paling dekat dengan bumi? Bobi bagi petunjuk kepada semua. Ia merupakan bola gas raksasa di langit. Jawapannya ialah matahari. Bagus kawan-kawan kerana dapat menjawab dengan betul.
Kalau ingin tahu lebih banyak mengenai matahari, Bobi akan membawa kawan-kawan meninjau matahari dengan Roket Ria 1 pada Sabtu minggu hadapan. Jumpa lagi minggu hadapan di halaman "BOBI ANGKASAWAN YANG ULUNG EPISOD 2 (MATAHARI)". Ta-ta.
No comments:
Post a Comment