Sunday, 13 June 2021

SI TUPAI YANG BONGKAK

 Di  dalam  sebuah  hutan,  terdapat  seekor  tupai  yang  bongkak  bernama  Si  Tupai.  Sejak  kecil  lagi,  Si  Tupai  tinggal  bersendirian  di  dalam  sebatang  pokok  yang  besar.  Si  Tupai  pantas  bergerak  dan  pandai  melompat  dari  dahan  ke  dahan  pokok.  Pergerakan  lancar  Si  Tupai  membolehkan  Si  Tupai  dapat  mengumpul  kacang-kacang  dengan  cepat.  Si  Tupai  hanya  mencari  kacang-kacang  pada  sebelah  pagi  sahaja.  Pada  waktu  petang  pula,  Si  Tupai  akan  berehat,  bermain  dan menikmati  kacang-kacangnya.

    Walaupun  Si  Tupai  amat  pandai  mencari  kacang-kacang,  namun  Si  Tupai  tidak  mempunyai  kawan.  Si  Tupai  enggan  membantu  tupai-tupai  lain.  Si  Tupai  mentertawakan  tupai-tupai  lain  yang  terjatuh  ke  atas  tanah.  Si  Tupai  juga  mempersendakan  tupai-tupai  lain  yang  bergerak  perlahan-lahan  atau  tidak  berani  melompat  dari  dahan  ke  dahan  lain.

    Pada  suatu  petang yang  panas,  Si  Tupai  melelapkan  mata  di  sarangnya  yang  dipenuhi  dengan  kacang-kacang.  Tidak  lama  kemudian,  Si  Tupai  terdengar  bunyi  jentera  yang  kuat.  Si  Tupai  belum  sempat  bangun  dari  sarangnya  untuk  melihat  apa  yang  berlaku.

    Tiba-tiba sarang  dan  kacang-kacangnya  bergetar-getar  dengan  kuat.  Si  Tupai  berasa  takut  dan  menjerit  meminta  tolong.  Apabila  bunyi  jentera  dan  getaran  berhenti,  Si  Tupai  terus  berlari  dan  melompat  ke  arah  dahan  pokok  lain.

    Pokok  yang  merupakan  sarang  Si  Tupai  telah  terhempas  ke  atas  tanah.  Si  Tupai  menyedari  bahawa  dia  telah  kehilangan  tempat  tinggal  dan  semua  makanannya.  Tupai-tupai  lain  keluar  memujuk  Si  Tupai  agar  Si  Tupai  tidak  berasa  sedih.  Dengan  bantuan  tupai-tupai  lain,  Si  Tupai  mempunyai  tempat  tinggal  baru.  Semenjak  itu,  Si  Tupai  tidak  lagi  bongkak  dan  suka  berkawan  dengan  tupai-tupai  lain.

3 comments:

  1. Terbaik.. Semoga btambah maju jaya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas sokongan dan nasihat yang diberikan. Semoga anda sihat-sihat belaka. Stay safe.

      Delete