Friday, 18 February 2022

TELUR UNTUK SARAPAN


Telur  adalah  makanan  kegemaran  bagi  kebanyakan  orang.  Telur  boleh  dijadikan  sarapan  yang  lazat  dan  berkhasiat.  Menu  sarapan  ringkas  seperti  telur  mata  kerbau,  telur  didih  separuh  masak,  roti  telur  goreng,  telur  dadar  sayuran  dan  pasta  dengan  telur  digemari  ramai.

    Telur  mempunyai  sumber  protein  yang  baik  untuk  kesihatan  badan.  Ia  dapat  membantu  pembentukan  otot  dan  tulang.  Asid  amino  di  dalam  telur  juga  mengandungi  sumber  tenaga  dan  boleh  membantu  anda  kenyang  lebih  lama.

    Selain  itu,  telur  dapat  menguatkan  daya  ingatan.  Sumber  kolin  yang  terdapat  di  dalam  telur  mampu  menguatkan  fungsi  otak.  Telur  juga  kaya  dengan  pelbagai  nutrisi  seperti  vitamin  A, D  dan  E.

    Emak  saya  suka  menyediakan  sarapan  saya  dengan  telur,  roti,  susu  dan  sayur-sayuran.  Di  antara  menu  sarapan  telur,  saya  paling  suka  makan  telur  mata  kerbau.  Bagaimana  pula  dengan  anda?

    


Thursday, 17 February 2022

RAFIDAH SUKA MEMETIK BUNGA


Pada  setiap  minggu,  ibu  bapa  Rafidah  selalu  membawa  Rafidah  ke  taman  bunga  yang  berdekatan  dengan  rumah  mereka.  Di  taman  bunga  itu,  terdapat  banyak  bunga  yang  sungguh  cantik.


    Rafidah  selalu  memetik  bunga-bunga  yang  cantik  lalu  membuang  bunga-bunga  yang  dipetiknya  di  merata-rata  tempat.  Ibu  bapa  Rafidah  menegur  perbuatan  Rafidah  tetapi  Rafidah  tidak  mendengar  kata  ibu  bapanya.

    Pada  suatu  malam,  sebelum  masuk  tidur,  ibu  Rafidah  menasihati  Rafidah  agar  tidak  memetik  bunga-bunga  di  taman.  

    "Kita  harus  menyayangi  bunga-bunga  di  taman  bunga,"  kata  ibu  kepada  Rafidah.  Tetapi  Rafidah  berpura-pura  menguap  dan  naik  ke  katilnya.

    Pada  tengah  malam,  satu  makhluk  hijau  tiba-tiba  muncul  di  hadapan  Rafidah.  Makhluk  itu  berasa  marah  dan  berucap.  "Rafidah  anak  yang  jahat.  Rafidah  selalu  memetik  anak-anak  aku  di  taman  bunga.  Saya  akan  menghukum  Rafidah  sekarang,"  kata  makhluk  hijau  dengan  suara  yang  garau.

    Selepas  menghabiskan  kata-katanya,  makhluk  itu  mengambil  gunting  lalu  menggunting  rambut  Rafidah  sehingga  botak.  Rafidah  menjerit  meminta  tolong.

    Rafidah  terkejut  dari  mimpi  dan  berlari  menuju  ke  bilik  ibu  bapanya.  "Saya  akan  sayang  bunga-bunga  di  taman  bunga  seperti  ibu bapa  sayang  aku,"  kata  Rafidah  sambil  menangis  tersedu-sedu.