Pak Budi dan Mak Rina mempunyai seorang anak perempuan yang comel bernama Zudi. Sejak kecil lagi, Zudi petah bercakap. Zudi suka bertutur dan menanya soalan.
Pada suatu hari, Pak Budi dan Mak Rina membawa Zudi ke Zoo Negara. Di dalam Zoo Negara, terdapat banyak haiwan yang menarik perhatian Zudi. Ada zirafah, badak, beruang, landak, ular, tapir, buaya dan banyak lagi.
Zudi terkejut apabila ternampak burung merak jantan yang cantik. Badan burung merak mempunyai bulu yang berwarna-warni dan ekornya terbentang luas.
"Wah, cantiknya burung merak ini! Mengapa burung merak tidak terbang tinggi, ibu?" tanya Zudi.
"Burung merak sebenarnya terbang, Zudi. Tetapi tidaklah terlalu tinggi," kata Mak Rina.
Selepas itu, Zudi ternampak monyet yang bergayut di atas pokok tinggi. "Ibu, kenapa monyet pandai bergayut di atas pokok tetapi Zudi tidak pandai?" tanya Zudi lagi.
Pak Budi dan Mak Rina ketawa terbahak-bahak. "Tangan monyet sangat kuat dan bertenaga, Zudi. Kalau Zudi ingin belajar bergayut di palang monyet, bapa ajar Zudi di taman permainan," kata Pak Budi.
Zudi tersengih. "Apa kata kami pergi ke taman permainan pada hujung minggu ini, bapa?" tanya Zudi. Pak Budi berfikir sebentar lalu menjawab Zudi.
"Baiklah, Zudi," kata Pak Budi. Zudi bersorak riang kerana Pak Budi berjanji membawanya ke taman permainan pada hujung minggu. Zudi memeluk Pak Budi dan Mak Rina.
"Terima kasih. Sayang ibu, sayang bapa," kata Zudi dengan senyuman yang lebar.