Ada suatu ketika apabila kawan-kawan Dino pergi menangkap ikan di tepi sungai, Dino tiba-tiba meraung dengan kuat sehingga kawan-kawannya terjatuh ke dalam sungai. Dino ketawa kuat melihat kawan-kawannya basah. Dino juga pernah mengejutkan kawan-kawannya sehingga mereka jatuh bergolek menuruni bukit. Dino ketawa kuat melihat badan kawan-kawannya penuh dengan rumput dan lumpur.
Pada suatu hari, Dino sakit tekak dan suaranya menjadi serak. Dino menangis tersedu-sedu kerana tidak dapat menelan makanan. Berita ini tersebar ke seluruh hutan. Kawan-kawan Dino membawa madu untuk Dino yang sakit.
Kawan-kawannya mengetuk pintu Dino. Apabila Dino membuka pintu, Dino berasa terharu dengan kedatangan kawan-kawannya. Dino menerima madu dengan perasaan malu. Sejak hari itu, Dino tidak lagi mengejutkan kawan-kawannya dengan raungan yang kuat.