Pada hari Pesta Tanglung, tujuh tanglung dibawa keluar ke laman bunga dan digantung pada pokok-pokok bunga. Malam ini tidak seperti malam Pesta Tanglung. Langit kelihatan sungguh gelap. Tanglung-tanglung tidak dapat melihat bulan lalu bertanya, "Di manakah Sang Bulan malam ini?" Namun, tiada tanglung yang tahu di mana perginya Sang Bulan.
Tiba-tiba muncul seekor burung hantu tua. Burung hantu itu berkata, "Sang Bulan kata, dia akan muncul lewat malam nanti kerana Puteri Bulan dan Putera Awan berkahwin pada malam ini. Sang Bulan sekarang berada di Istana Awan."
Selepas habis berkata, burung hantu itu terbang meninggalkan laman bunga. Tanglung-tanglung menunggu Sang Bulan dengan sabar. Tanglung-tanglung berasa gembira apabila Sang Bulan muncul di atas langit. Sang Bulan menyinari malam yang gelap dengan cahaya yang terang. Langit yang murung bertukar menjadi langit yang indah.
Tanglung-tanglung mendengar kisah perkahwinan Puteri Bulan dengan Putera Awan dengan penuh gelak ketawa. Mereka berceloteh tanpa berhenti. Lewat malam kelihatan sunyi bagi manusia, tetapi hanya Sang Bulan dan tanglung-tanglung tahu betapa meriahnya lewat malam ini.