Aku diperbuat daripada bahan-bahan yang berkualiti. Pekerja-pekerja menghasilkan aku dengan penuh teliti. Mereka menghiaskan badan aku dengan biskut dan coklat yang menyelerakan.
Selepas aku dilahirkan, aku ditempatkan di dalam peti sejuk kek yang besar. Peti sejuk kek itu adalah berdinding cermin dan mempunyai pintu gelangsar di belakangnya. Setiap hari, kedai aiskrim penuh dengan pelanggan kerana kedai aiskrim memang sangat terkenal di Kuala Lumpur. Setelah aku dipamerkan selama sehari, seorang wanita masuk ke dalam kedai aiskrim lalu memilih aku.
Aku diletakkan di dalam kotak yang istimewa supaya aku tidak cair. Wanita itu membawa aku pulang ke rumahnya. Setelah tiba di rumahnya, aku dikeluarkan dari kotak dan diletakkan di atas meja dengan makanan lain yang kelihatan sedap. Keadaan rumah wanita itu sungguh meriah. Rupa-rupanya, hari ini adalah hari jadi anak bongsunya, Ana yang berumur empat tahun.
Hidup aku sungguh pendek tetapi amat bermakna. Aku dilahirkan untuk memberi kegembiraan kepada orang yang menyambut hari jadinya. Saat aku paling bahagia adalah melihat senyuman manis Ana.