Pada suatu hari, Abu keluar menjala di tengah laut seperti biasa. Hari masih gelap dan Abu bekerja dengan bersemangat. Apabila menarik jalanya, Abu ternampak seekor ikan ungu yang bersinar terperangkap di jalanya. Ikan ungu merayu agar dilepaskan. Tetapi, Abu enggan melepaskan ikan ungu dan mula bersikap tamak.
Oleh kerana ingin cepat kaya, Abu meminta tiga peti emas dan tiga peti berlian. Ikan ungu bersetuju dan Abu melepaskan ikan ungu ke laut. Dengan sekelip mata, tiga peti emas dan tiga peti berlian muncul di atas perahu Abu. Perahu Abu terbalik dan semua peti terus tenggelam ke dalam laut.
Abu menyesal kerana bersikap tamak. Abu menangis sambil menggenggam perahunya yang masih terapung. Abu menjerit dan merayu kepada ikan ungu tetapi ikan ungu tidak muncul. Tidak lama kemudian, Abu pun terlelap di tengah laut. Ikan ungu muncul di dalam mimpi Abu dan menyuruhnya bertaubat. Apabila bangun daripada mimpinya, Abu sedar bahawa perahunya telah berada di tepi laut. Sejak hari itu, Abu sedar akan kelemahan dirinya dan berasa syukur dengan kehidupannya sekarang.