Atuk Karim mempunyai seorang cucu yang comel. Namanya ialah Pipi.
Pipi suka mendengar bunyi piano yang merdu. Semasa Pipi berumur lima tahun, Pipi dihantar ke pusat muzik untuk belajar piano. Atuk Karim selalu menemani Pipi semasa Pipi bermain piano.
Ketika Pipi berumur tujuh tahun, Pipi merajuk kerana ingin meluangkan masanya untuk bermain telefon pintar. Pipi tidak lagi menumpukan perhatian semasa bermain piano dan banyak melakukan kesilapan. Pipi juga bermain piano dengan pantas tanpa mengikut rentak yang betul semata-mata untuk menghabiskan latihan piano dengan cepat.
Melihat Pipi yang sedang bangun dari tempat duduknya, Atuk Karim berkata, "Mari atuk mainkan sebuah lagu untuk Pipi."
Pipi terperanjat sambil berkata, "Atuk pandai bermain piano?"
Atuk Karim tidak menjawab Pipi. Atuk Karim duduk di hadapan piano lalu menggerakkan jari-jarinya dengan lancar. Lagu yang dimainkan oleh Atuk Karim sungguh merdu. Pipi duduk di sebelah Atuk Karim dan menghayati lagu yang dimainkan oleh Atuk Karim.
"Wah, atuk memang hebat sekali! Pipi nak jadi macam atuk" kata Pipi.
"Atuk, Nenek Nila dan Mak Cik Timah suka bermain muzik semasa usia muda. Atuk pandai main piano, drum set dan saksofon. Setiap petang, atuk akan meluangkan banyak masa untuk berlatih bermain muzik. Dengan banyak berlatih, atuk menjadi mahir dan pandai bermain muzik," kata Atuk Karim.
"Kalau nak mahir bermain piano, Pipi kena berlatih bersungguh-sungguh setiap hari. Betul, atuk?" tanya Pipi.
"Pandai cucu atuk. Lewat petang nanti, nak tengok atuk bermain muzik dengan Nenek Nila dan Mak Cik Timah?" tanya Atuk Karim. Pipi bersorak riang.
"Tetapi Pipi kena habiskan latihan piano dengan rentak yang betul," ujar Atuk Karim. Pipi mula bermain piano dengan bersungguh-sungguh.