Hai kawan-kawan. Aku adalah seekor anak penyu. Cuba kawan-kawan bayangkan rupa aku yang comel. Sekarang, mari aku ceritakan kisah hidup aku sebagai seekor penyu.
Ibu aku akan naik ke pantai dan menggali lubang untuk dijadikan sarang telurnya. Di situlah aku akan bakal dilahirkan. Setelah ibu aku menggali lubang yang dalam, ibu bersedia untuk bertelur. Ibu aku bertelur kira-kira lima puluh hingga seratus biji telur di dalam sarangnya.
Selepas bertelur, ibu akan menutup sarangnya dengan pasir sebelum merangkak balik ke dalam laut. Ibu aku tidak mengeram telurnya seperti burung dan ayam. Sebaliknya, suhu pasir membantu proses pengeraman telur.
Telur anak penyu menetas lebih kurang empat puluh lima hingga enam puluh hari. Setelah menetas, aku dan adik-adik aku masing-masing keluar dari sarang dan merangkak ke arah laut.
Pada masa itu, aku hanya bersaiz lebih kurang sebiji kacang kenari (walnut). Oleh itu, perjalanan aku ke laut amat mencabar. Apabila sampai di laut, aku berlawan dengan arus air yang kuat tetapi aku tidak pernah berputus asa.
Aku banyak menghabiskan hidup aku di dalam laut. Aku berharap kebersihan laut dapat dikekalkan agar penyu tidak akan pupus.