Su Sie seorang budak perempuan yang suka berkebun. Dia selalu menolong neneknya berkebun di belakang rumahnya. Su Sie akan menyiram pokok bunga, membubuh baja dan mencantas pokok bunga. Neneknya tidak jemu mengajar Su Sie teknik-teknik menjaga pokok bunga. Di belakang rumah Su Sie, ada pokok bunga kertas, kacang bendi, betik, bunga orkid, daun kari, lidah buaya dan buah markisa.
Pada hari ini, nenek Su Sie menunjukkan benih-benih bunga matahari kepada Su Sie. Nenek berkata," Mari lihat, Su Sie. Nenek sedang menanam benih-benih bunga matahari. Warna bunga matahari dapat menyerikan lagi taman kami kerana warnanya yang terang."
"Nenek, kenapa ada benih yang tidak bercambah?" tanya Su Sie.
"Benih memerlukan lima elemen penting, iaitu air, udara, cahaya matahari, tanah dan suhu yang sesuai. Lepas itu, baru benih akan bercambah," kata nenek lalu tersenyum.
Nenek membelek-belek pokok buah markisa. " Su Sie, tolong nenek petik buah markisa yang telah masak." Su Sie ternampak bunga pada pokok buah markisa. " Wah, cantiknya bunga ini!" kata Su Sie. Menurut nenek, pokok akan berbuah selepas berbunga.
Buah markisa yang ditanam oleh nenek memang sedap. Su Sie berasa gembira setiap kali berkebun dengan nenek kerana nenek banyak mengajar Su Sie tentang cara-cara berkebun.