Azmin seorang budak yang suka makan gula-gula dan coklat. Setiap hari selepas makan malam, Azmin akan mengambil gula-gula dan makanan ringan untuk makan. Ibu Azmin menegur Azmin tetapi Azmin degil dan tidak mendengar nasihat ibunya.
Pada suatu hari, Azmin mengadu giginya sakit apabila mengunyah makanan. Azmin asyik menangis dan tidak berselera untuk makan. Ibu Azmin berasa risau dan membawa Azmin ke klinik gigi.
Apabila sampai ke klinik gigi, Azmin menangis dengan kuat. Azmin berasa takut untuk berjumpa dengan doktor gigi. Apabila namanya dipanggil, Azmin tidak bergerak dari tempat duduknya. Setelah dipujuk oleh jururawat, Azmin mengikut jururawat ke dalam bilik doktor gigi.
Di dalam bilik doktor gigi, Azmin duduk di atas kerusi pesakit. Setelah membuat pemeriksaan, doktor gigi berkata, "Gigi Azmin ada lubang dan perlu dibaiki dengan segera. Doktor akan membuat tampalan pada gigi yang berlubang. Lepas itu, gigi Azmin tidak akan sakit lagi." Azmin menganggukkan kepalanya.Selepas selesai membuat tampalan gigi, doktor gigi mengajar Azmin cara yang betul untuk memberus gigi. Doktor gigi juga menasihati Azmin agar mengurangkan makanan ringan yang boleh merosakkan gigi. Sejak hari itu, Azmin menjaga giginya dengan baik.