Planet Utarid merupakan planet yang terkecil di dalam sistem solar dan saiznya hanya besar sedikit daripada bulan yang mengelilingi bumi. Cuba kawan-kawan lihat dengan teliti. Permukaan planet Utarid adalah kasar dan berbatu. Lapisan atmosfera planet Utarid pula sangat nipis.
Mari kita melihat fakta-fakta yang menarik. Satu hari di planet Utarid adalah 59 hari di bumi. Satu tahun di planet Utarid adalah 88 hari di bumi. Wah, uniknya! Ini bermaksud planet Utarid sangat pantas mengelilingi matahari tetapi berputar dengan perlahan di kedudukannya. Oleh itu, siang dan malam di planet Utarid adalah sangat panjang berbanding di bumi.
Suhu planet Utarid juga menakjubkan. Suhu terpanas di Malaysia boleh mencapai 40 darjah celcius, tetapi suhu waktu siang di planet Utarid boleh mencapai 430 darjah celcius. Eh, panasnya! Pada malam pula, suhu planet Utarid boleh turun sehingga mencapai lebih dua kali ganda suhu di Antartika. Oh, sejuknya!
Masa untuk kuiz. Adakah planet Utarid mempunyai kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan? Jawapannya, tiada kehidupan di planet Utarid kerana tiada udara. Bagus, kawan-kawan.
Sekian saja kali ini. Bobi berharap kawan-kawan semua mendapat ilmu yang bermanfaat. Jumpa lagi minggu hadapan di halaman "BOBI ANGKASAWAN YANG ULUNG EPISOD 4 (PLANET ZUHRAH). Ta-ta.