Pada suatu hari, apabila Azmin sedang membersihkan halaman rumah, Azmin terserempak dengan seorang lelaki tua yang datang meminta segelas air. Pakaian lelaki tua itu agak compang-camping. Azmin berasa kasihan terhadap lelaki tua itu. Dengan segera, Azmin memberikan segelas air dan sebungkus biskut coklat kepada lelaki tua itu. Selepas menghilangkan haus, lelaki tua itu terus beredar.
Kejadian yang sama berlaku pada keesokan hari. Lelaki tua itu datang lagi dengan pakaian compang -camping. Seperti biasa, lelaki tua akan terus beredar selepas menghabiskan air dan biskut coklat. Kejadian yang sama berlaku selama beberapa minggu dan Azmin menunggu kedatangan lelaki tua. Walaupun mereka tidak pernah berbual, Azmin tetap pendiriannya untuk menyediakan segelas air dan sebungkus biskut coklat untuk lelaki tua itu.
Lama-kelamaan, Mak Cik Kia mendapati tin-tin biskut coklat telah kosong dan dia terus memarahi Azmin. Setelah Azmin menceritakan perkara yang sebenar, Mak Cik Kia terus memukul Azmin. Mak Cik Kia melarang Azmin bersedekah dan Azmin terpaksa mengikut kata-kata Mak Cik Kia.
Sejak hari itu, Azmin asyik berdiam diri. Apabila lelaki tua datang meminta segelas air, Azmin beredar tanpa bersuara. Mak Cik Kia tersenyum melihat Azmin tidak mempedulikan lelaki tua itu. Sebenarnya, Azmin telah menyediakan segelas air di atas bangku kecil di sebalik pokok rendang di tepi pagar.
Setelah berlalu lima hari, lelaki tua itu datang dengan pakaian yang segak. Lelaki tua itu menghulurkan sekeping tiket pengembaraan mengelilingi dunia dengan belon udara panas kepada Azmin.
"Pengembaraan hidup baru bermula pada hari ini," kata lelaki tua itu sambil tersenyum dengan mulut terbuka. Azmin seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Barisan gigi lelaki tua itu berwarna emas.