Pada suatu zaman dahulu, terdapat sebuah kampung yang penuh dengan kegembiraan. Ketua kampung, Abiso amat dihormati oleh penduduk-penduduk kampung. Abiso mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Amicha. Sejak kecil lagi, Amicha diajar supaya menjadi seorang yang taat dan jujur.
Kampung sungguh makmur sehingga pada suatu hari, malapetaka telah melanda kampung Amicha. Panas terik dan musim kemarau menyebabkan tanaman musnah. Binatang dan penduduk-penduduk kampung dijangkiti wabak penyakit. Abiso menemui jalan buntu lalu mengarahkan Amicha mencari air suci yang dapat menyembuhkan wabak penyakit yang melanda.
Abiso berkata, "Amicha, pergi ke arah selatan untuk mencari air suci yang mengalir dari Pokok Bidadari. Pengembaraan ini amat berbahaya. Ingat, sentiasa jujur dan jangan bersikap tamak."
Amicha memulakan perjalanan ke arah selatan. Amicha berjalan selama sebulan sehingga sampai di gurun. Amicha ternampak seorang nenek yang buta sedang mencari tongkatnya. Amicha meminta izin untuk menghulurkan bantuannya lalu menjumpai sebatang tongkat emas.
"Adakah ini tongkat puan? Tongkat ini berwarna emas," tanya Amicha.
"Emas? Ini bukan tongkat nenek, tapi kami boleh jual tongkat yang berharga ini dan kami bahagikan sama rata wang itu. Kali ini, nenek akan jadi kaya-raya," kata nenek sambil tersengih-sengih.
"Tongkat ini bukan kepunyaan kami. Maaf, nenek, saya ingin beredar dulu," kata Amicha.
Tiba-tiba, gurun bertukar menjadi sebuah tempat yang indah dan di hadapan Amicha, muncul Pokok Bidadari. Di bawah Pokok Bidadari, air suci mengalir tanpa berhenti. Rupa-rupanya, nenek adalah jelmaan Bidadari Ying yang mengawal Pokok Bidadari.
Bidadari Ying menawarkan air suci yang dihendaki oleh Amicha dengan syarat Amicha mengawal Pokok Bidadari selama lima tahun. Walaupun berat hati meninggalkan bapanya selama lima tahun, Amicha bersetuju menunaikan janjinya apabila kampung Amicha kembali makmur.
Air suci berjaya menyembuhkan penyakit penduduk-penduduk kampung dan musim kemarau telah berlalu. Keadaan kampung beransur pulih dan kembali seperti sediakala. Penduduk-penduduk kampung, terutamanya Abiso berasa sedih kerana Amicha harus meninggalkan kampung untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penjaga Pokok Bidadari.
"Buatlah apa yang patut. Bapa bangga dengan Amicha," ujar Abiso.