Si Comel menguap lalu bangun daripada tidur. Si Comel cuba mencari jalan keluar dari hutan, tetapi gagal. Si Comel bertemu dengan seorang nenek tua yang bergigi satu. Nenek meminta Si Comel untuk memimpinnya balik ke rumah papan yang tidak jauh dari situ.
Si Comel bersetuju dan memimpin tangan nenek sehingga sampai ke rumahnya. Nenek menjemput Si Comel masuk ke dalam rumah. Apabila Si Comel ternampak sebuah patung beruang yang gelap, Si Comel menolak ajakan nenek dengan suara yang kurang sopan.
"Si Comel memang penakut," kata nenek.
Si Comel naik angin dan terus masuk ke dalam rumah nenek. Tidak lama kemudian, Si Comel bertukar menjadi seekor beruang hitam. Rupa-rupanya nenek adalah seorang ahli sihir.
Sejak hari itu, Si Comel terpaksa hidup dengan nenek dan akur dengan perintahnya. Haiwan peliharaan nenek, iaitu seekor burung gagak selalu mengejek Si Comel. Walaupun Si Comel berasa sedih, Si Comel tetap tabah dan tidak pernah merajuk. Si Comel sedar akan kesilapannya yang tidak mendengar kata-kata ibu bapanya.
Selepas sebulan berlalu, nenek melepaskan Si Comel dan berkata, "Jangan sekali-kali masuk ke dalam hutan lagi."
Hutan, rumah papan, nenek dan burung gagak hilang dengan sekelip mata. Badan Si Comel kembali menjadi kucing dan Si Comel berdiri di hadapan rumahnya. Si Comel berlari pantas dan memeluk ibu bapanya.
(TAMAT)
Sila tekan sini untuk membaca bahagian 1