"Aku adalah ikan yang paling gagah di dalam laut. Perkataan laga adalah panggilan yang kurang sopan bagi rupa aku yang begitu menawan. Mulai hari ini, engkau semua panggil aku Naga Merah," kata ikan laga dengan tegas.
Semua ikan berasa takut dengan ikan laga yang bengis. Ikan laga suka menang dan selalu berlaga dengan ikan-ikan yang sengaja mencabarnya. Ikan-ikan lain takut dicederakan oleh ikan laga dan menurut kehendak ikan laga.
Pada suatu hari, ikan laga termakan umpan yang dipasang oleh seorang budak lelaki. Ikan laga berusaha untuk melepaskan diri tetapi gagal. Ikan laga cuba merayu kepada ikan-ikan lain untuk menolongnya. Namun, tiada seekor ikan yang mahu menolongnya. Ikan laga berasa menyesal kerana tidak melayan semua ikan dengan baik.
Ikan laga dibawa balik oleh seorang budak lelaki dan ditempatkan di sebuah balang yang kecil. Sejak hari itu, ikan laga tinggal bersendirian di dalam balang.